Thursday, 18 December 2008

Inovasi dan Teknologi Tamadun Islam


Sejak akhir-akhir ini, Islam sering dikaitkan dengan keganasan dan kekerasan. Agama Islam yang sememangnya syumul dianggap sebagai agama yang mendorong kepada keganasan. Tidak dinafikan semangat jihad adalah menjadi pegangan umat Islam namun jihad terbahagi kepada beberapa bahagian dan tidak kepada keganasan semata-mata.

Begitu juga dalam kajian sejarah dunia, sumbangan besar tamadun-tamadun Islam seperti kerajaan Khulafa Al-Rasyidin, Bani Umaiyah, Bani Abbasiyah dan Turki Uthmaniyah telah dilupakan dan digantikan dengan tamadun Eropah yang pada masa itu masih berada dalam Zaman Kegelapan. Orang-orang Eropah semasa Perang Salib telah mencedok pelbagai ilmu orang Islam dan membawanya pulang ke negara mereka. Selepas itu, mereka mengakui bahawa mereka telah mencipta dan menemui ilmu tersebut. Hal ini amat merugikan umat Islam kerana kita akan sentiasa berasa rendah diri (low profile) disebabkan umat Islam pada masa kini ditindas secara terang-terangan oleh negara-negara.

Namun begitu pada 17 Disember 2008 yang lalu, hati saya telah terdetik untuk melihat rancangan di televisyen dan membuka saluran History Channel. Jam pada waktu tersebut adalah pukul 11.05 pagi dan rancangannya adalah Ancient Discoveries - Machines of the East. Saya amat terperanjat apabila melihat sinopsis (info) rancangan tersebut kerana buat pertama kali dalam rancangan dokumentari orang Inggeris mereka mengakui sumbangan tamadun Islam dalam perkembangan sains dan teknologi kepada dunia sekarang. Sebelum ini, saya tidak pernah melihat dokumentari yang orang bukan Islam mengakui kehebatan orang Islam. Saluran National Geographic dan Discovery Channel pernah menayangkan dokumentari seperti asal-usul sains dan teknologi namun sumbangan orang Islam tidak pernah disebut. Hal ini amat menyedihkan saya sebagai sebahagian umat Islam.

Dalam dokumentari tersebut, pencipta dan saintis bernama Al-Jazari dari kurun ke-13 telah mencipta teknologi dan memperbaharui kejuruteraan mekanikal daripada empayar silam Yunani yang telah runtuh. Beliau telah mencipta sebuah mesin kincir air yang berfungsi secara automatik tanpa menggunakan tenaga manusia mahupun haiwan. Inovasi yang hebat ini telah meletakkan dunia Arab dan tamadun Islam pada masa tersebut sebagai pusat sains dunia. Selain penciptaan kincir air automatik, saintis-saintis juga Islam telah mencipta pelbagai jenis senjata untuk peperangan di darat mahupun di laut. Sebagai contoh, sepasang baju kalis api telah dicipta dan digunakan oleh tentera Islam pada ketika itu. Bahan-bahan untuk membuatnya amat mudah seperti bulu biri-biri dan sutera namun inovasi dan kaedah untuk menghasilkannya amat bijak dan kreatif. Tentera Islam pada ketika itu juga telah menghasilkan serbuk api ataupun lebih dikenali sebagai 'Barud' (gunpowder) yang pertama dalam sejarah dunia.Terdapat juga senjata lain seperti ‘Dabbabah’ (kayu pelantak) dan ‘Manjanik’ (balista). Ini telah melakar kembali sejarah kerana pada masa kini sejarahwan dunia mengatakan tamadun China adalah pengasas serbuk api namun tamadun Islam telah menciptanya 700 tahun lebih awal dan lebih baik buatannya serta lebih sensitif daripada serbuk api buatan tamadun China. Di akhir dokumentari ini juga ditunjukkan torpedo buatan pertama manusia yang digunakan dalam peperangan di laut yang telah dicipta oleh saintis Islam. Sememangnya dokumentari ini telah mengangkat kembali martabat dan status umat Islam sebagai penyelamat tamadun dunia ketika Eropah dalam Zaman Kegelapan dan merintis kepada Zaman Renaisannce di dunia Barat.

Setelah membuat beberapa kajian dan rujukan selepas menonton dokumentari tersebut, saya mendapati Al-Jazari telah dilahirkan pada zaman Kerajaan Abbasiyah iaitu pada zaman kegemilangan dan keemasan tamadun Islam. Pada waktu tersebut Andalus dan Sicily di Itali telah menjadi pusat keilmuan bertaraf dunia dan berjaya menghasilkan beberapa pemikir hebat Islam. Nama-nama seperti Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi (tokoh matematik), Al-Battani (tokoh astronomi), Jabir bin Hayyan (tokoh kimia), Al-Hassan bin Al-Haitham (tokoh fizik), As-Syarif Al-Idrisi (tokoh geografi) dan Ibnu Sina (tokoh perubatan) telah menghasilkan pelbagai ilmu untuk kemajuan tamadun Islam dan menghasilkan legasi ilmu yang terus berkembang di dunia ini. Selain itu, umat Islam pada waktu tersebut juga telah menguasai teknologi dan sains daripada tangan orang Rom, Parsi dan Yunani yang tidak menghargai ilmu kerana masih berada dalam Zaman kegelapan. Saintis Islam juga telah membetulkan fakta sains yang salah oleh saintis terdahulu daripada dunia barat. Salah satu khalifah kerajaan Abbasiyah iaitu Khalifah Al-Makmun telah menyusun kembali aktiviti penterjemahan ilmu dan melantik dua penterjemah tetap iaitu Yuhana bin Masawaih dan Hunain bin Ishaq di Baitulhikmah. Baitulhikmah pula telah menjadi pusat penterjemahan negara. Antara ilmu-ilmu yang telah diterjemahkan adalah falsafah, astronomi, kimia, fizik, biologi dan perubatan. Ilmu-ilmu tersebut berasal daripada bahsa Yunani, Parsi dan Hindi. Jika tamadun Islam tidak menterjemah ilmu-ilmu tersebut untuk diselamatkan dan diperbaharui maka sudah tentu ilmu-ilmu tersebut akan musnah begitu sahaja kerana orang Eropah pada ketika itu tidak menghargai ilmu kerana serangan orang gasar seperti Viking dan Han serta pengaruh Geraja Katolik yang hanya mementingkan dunia akhirat telah menyebabkan ilmu duniawi tidak dihargai.

Para pemabaca yang dihormati, tamdun Islam semangnya telah memberikan satu sumbangan yang begitu besar dan tidak terkira untuk kemajuan dunia ini. Namun apabila ada pihak yang tidak mahu mengakui hakikat ini, umat Islam sering ditindih supaya tidak dapat bangun dari rebah apabila dijatuhkan. Mereka tidak mahu umat Islam menguasai dunia ini sekali lagi. Legasi ilmuwan Islam masih dapat dilihat di kota-kota Islam di dunia Arab namun penghayatan umat Islam kini dalam meneruskan perjuangan jihad mereka dalam mencari ilmu masih kurang. Allah pernah berfirman, “Kami tidak mengubah nasib sesuatu melainkan mereka mengubahnya sendiri”. Oleh itu tepuk dada, tanyalah hati anda. Apakah sumbangan anda untuk dunia ini? Jika belum, anda masih belum terlambat untuk memulakannya. Insya-Allah.

Tuesday, 16 December 2008

Ancaman Virus Di Alaf Ini


Kini kita sudah pun hampir kepada penghujung tahun 2008 namun pelbagai perkara-perkara menarik masih rancak berlaku. Dalam dunia siber ini, virus sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Berdasarkan Wikipedia, definisi virus adalah sesuatu program yang boleh menyalin diri sendiri dan menjangkiti sesebuah komputer tanpa kebenaran pemilik komputer tersebut. Sememangnya perkara ini amat menyusahkan dan membimbangkan pengguna kerana virus tersebut sangat bahaya dan boleh merosakkan data komputer.

Saya ingin menceritakan pengalaman pertama saya semasa komputer saya dijangkiti virus. Perkara ini berlaku pada 2 tahun iaitu pada tahun 2006 dimana komputer saya telah dijangkiti virus yang mempunyai sifat 'trojan' dan juga malware. Dengan tiadanya sistem keselamatan seperti perisian antivirus komputer saya telah dirosakkan datanya dan sistem Windows saya turut dibuang fail 'library' dan 'dynamic link'. Ini menyebabkan saya terpaksa menginstall kembali Windows tersebut dan kehilangan segala data simpanan saya di dalamnya.

Setelah itu, ayah saya telah mengajar satu cara yang efektif dan mudah untuk menghalang mana-mana virus daripada menjangkiti komputer kita. Namun cara dan kaedah ini adalah langkah pencegahan semata-mata dan perisian antivirus masih diperlukan untuk langkah keselamatan tambahan.

Ini adalah amalan saya jika ingin memasukan sebarang 'pendrive' atau 'thumdrive' ke dalam komputer saya. Namun adalah diingatkan bahawa ini hanya satu amalan dan virus masih boleh menjangkiti jika tidak mengikuti langkah-langkah ini dengan betul. Tambahan pula, komputer anda harus bebas daripada mana-mana virus dahulu jika ingin mengamalkan amalan saya ini. Hanya untuk pengguna Windows XP. Jika anda menggunakan Windows lain atau Linux sila sesuaikan dengan langkah-langkah dibawah atau sila tulis perkara yang anda tidak faham di ruangan komen di bawah.

1) Semasa masukkan pendrive tekan butang 'Shift' selama 5 saat. Ini akan memastikan sebarang fail 'autorun' di dalam 'pendrive' anda dapat dihalang sekaligus virus tidak aktif buat sementara.

2) Buka tetingkap 'Windows Explorer' dan tekan 'Folder Options' di menu 'Tools'.

3) Pilih 'View'. Kemudian anda harus mengaktifkan butang 'Show hidden files and folders' dan 'Hide protected operating system files'.

4) Kemudian buka 'pendrive' tanpa menekan pada ikonnya. Anda boleh menulis 'link' di 'address bar' seperti 'E:\' atau menekan ikon 'folders' dan satu tetingkap kecil akan keluar di sebelah kiri anda. Kemudian pergi ke 'pendrive' anda menggunkan menu di tepi kiri anda.

5) Selepas itu anda boleh mencari fail yang bernama 'autorun.inf' dan menghapuskan fail tersebut.

6) Kini anda berada di tahap yang kritikal dimana anda harus mempunyai sedikit pengetahuan tentang virus dan anda boleh mengenalpasti samada sesuatu fail adalah virus atau tidak (saya akan mengajar cara mengenalpasti ini di dalam artikel selepas ini).

7) Kini ancaman virus sudah dihapuskan dan anda boleh menggunakan 'pendrive' anda dengan bebas. Namun jika anda sering bertukar fail antara komputer, anda harus mengamalkan amalan ini selalu. 'Settings' yang telah diubah tadi boleh diletakkan pada keadaan asal untuk memastikan sistem komputer tidak diganggu.

Langkah-langkah pencegahan ini adalah salah satu daripada pelbagai cara alternatif selain menggunakan perisian antivirus itu sendiri. Anda boleh mengambil pautan RSS blog saya iaitu http://kowrie.blogspot.com/feeds/posts/default dan meletakkannya di RSS Feed anda.

Jika ada apa-apa pertanyaan sila kemukan soalan anda di ruangan komen di bawah dan saya akan membalasnya secepat mungkin. Assalamualaikum.

Saturday, 13 December 2008

Sekapur Sireh Pembuka Bicara


Tahun 2008 telah pun berakhir dengan pelbagai pengalaman baru dan segala pahit manis telah saya lalui. Bak kata pepatah 'Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan'. Insya-Allah.

Sebenarnya pepatah Ingeris ini membawa makna yang begitu mendalam kepada saya pada tahun ini. Mula-mula saya mengenali pepatah ini semasa saya mendengar lagu Justin Timberlake dalam albumnya 'FutureSex/LoveSound' yang bertajuk 'What Goes Around.../...Comes Around'. Pepatah ini bermakna segala yang berlaku ada hikmahnya dan kebaikannya. Seperti dalam permainan komputer yang telah saya bermain bertajuk 'Prince of Persia : The Two Throne' heronya, Prince of Babylon akhirnya berjaya membebaskan dirinya daripada unsur kejahatan yang berada di dalam dirinya.

Begitulah juga dengan kehidupan kita seharian. Apa yang berlaku adalah qada dan qadar daripada-Nya. Segala musibah dan nikmat adalah untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya dalam menghadapi dugaan hidup. Saya masih ingat ustazah Pendidikan Islam saya semasa di MRSM Pengkalan Chepa pernah berkata bahawa, "Iman terbahagi kepada 5 tahap. Tahap pertama adalah iman para rasul dan nabi yang sentiasa kekal. Tahap kedua adalah iman para wali kerana iman mereka sentiasa bertambah. Tahap ketiga adalah iman mukmin yang sentiasa bertambah dan berkurang. Tahap keempat adalah iman orang islam yang belajar ajaran Islam tetapi tidak menghayatinya manakala tahap terakhir imannya tidak diterima Allah iaitu mereka yang hanya mengikut ajaran Islam secara membuta-tuli tanpa mengetahui maksud sesuatu perbuatannya."

Oleh itu marilah kita sama meningkatkan lagi amalan kita di dunia ini. Dalam satu hadis Rasulullah saw pernah bersabda, "Dunia ini adalah tempat persinggahan. Maka carilah bekal secukupnya untuk menuju ke destinasi seterusnya." Dalam satu hadis lain baginda bersabda, "Janganlah kamu tunggu sehingga waktu petang. Dan apabila tiba waktu petang, janganlah kamu menunggu sehingga waktu pagi." Kita sebagai umat Islam di akhir zaman ini seharusnya memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi fardhu ain malahan fardhu kifayah juga perlu diutamakan. Sampai di sini sajalah coretan saya untuk kali ini. Semoga kita semua mendapat keberkatan daripada-NYa dan dihindari daripada segala bala bencana. Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan saudara-saudara Islam kita di seluruh dunia. Bersama-samalah kita memartabatkan dunia Islam pada masa kini.

Assalamualaikum.